Friday, 2 November 2012

Mr. & Ms. kAmi


RINGKASAN BAB 4 

Pemikiran Sebagai Asas Etika dan Nilai-Nilai Moral



Konsep dan Pembahagian Etika

Etika merupakan satu sistem kepercayaan yang didasarkan kepada moral dan ia diterima untuk mengawal tingkah laku manusia. Perkataan etika berasal daripada perkataan Greek iaitu "ethos" yang membawa maksud "character" atau perangai. Daripada perkataan Latin, kita temui perkataan "mores", yang bermaksud moral iaitu turut melibatkan perangai. Berdasarkan perspektif ilmu falsafah, etika digolongkan sebagai falsafah moral iaitu satu cabang ilmu yang secara khusus membincangkan tentang apa yang dikatakan tingkah laku yang baik dan tingkah laku yang buruk. Istilah etiket (etiquette) pula membawa maksud tingkah laku atau tatacara yang di anggap baik dalam sesuatu situasi sosial. 

Para sarjana dan ahli falsafah membahagikan etika kepada tiga iaitu etika meta (meta ethics), etika normatif (normative ethics) dan etika gunaan (applied ethics).




Etika meta (meta ethics)

Meta membawa maksud, “di sebalik apa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar”. Ianya melibatkan persoalan-persoalan ghaib seperti kuasa tuhan, keagamaan, kebenaran sejagat dan peranan akal. Ianya juga melibatkan metafizikal, psikologikal dan linguistik yang merupakan konsep-konsep yang abstrak dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Etika agama atau etika deskriptif terkandung dalam etika meta. Ia membincangkan sistem moral golongan manusia yang menganuti pelbagai agama dan fahaman seperti Islam, Kristianiti, Buddhisme dan Hinduisme. Etika keagamaan Islam boleh dirujuk kepada etika meta. Islam adalah Addin yang merupakan sistem hidup yang mencakupi seluruh aspek dan daerah kehidupan. Islam adalah cara hidup yang syumul, lengkap dan sempurna. Etika Islam menekankan kepada kerangka matlamat penciptaan manusia dan peranan yang wajib dimainkan oleh Muslim dalam kehidupan individu dan masyarakat.


Etika Normatif  (normative ethics)

Etika normatif membuat kritikan dan melakukan penilaian ke atas etika moral yang ada kemudiannya mencadangkan satu sistem yang standard untuk semua. Terdapat banyak teori yang diguna pakai dalam etika normative yang membincangkan tentang tingkah laku manusia dan masyarakat, sama ada yang baik atau buruk. "Teori deontological" menilai baik buruk berdasarkan tindakan. Contohnya, menolong adalah suatu perbuatan yang baik. Justeru, menolong dalam perbuatan apapun dikira baik, termasuklah menolong orang yang mencuri walaupun mencuri itu perbuatan jahat. manakal bagi "teori  teological" menilai baik-buruk berdasarkan kesan tindakan. Contohnya, sekiranya seseorang itu  mencuri harta seorang kaya yang bakhil dan mengagihkannya kepada ramai orang miskin, maka perbuatan itu dianggap baik. Demikian juga jika seseorang itu menolong orang buta melintas jalan tetapi berkesudahan dengan kemalangan, maka perbuatan itu dianggap tidak beretika kerana hasil akhirnya adalah kecelakaan.


Etika gunaan (applied ethics)

Etika gunaan membincangkan isu-isu khusus dalam kehidupan seharian meliputi pelbagai bidang seperti perniagaan, perguruan, perubatan, alam sekitar, sosial dan seks. Etika perniagaan menganalisis aspek-aspek dalam perniagaan seperti hubungan pekerja dan majikan, serta diskriminasi dan hak pengguna. Etika perguruan membincangkan tanggungjawab guru terhadap profesionnya. Etika perubatan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan seperti tanggungjawab pegawai perubatan, pengguguran bayi, manipulasi genetic, dan hak pesakit. Etika alam sekitar memfokus kepada isu seperti kawalan ke atas ekologi dan ekosistem, keperluan flora dan fauna dan pengurusan sumber alam. Etika sosial memberi tumpuan kepada isu-isu kemasyarakatan seperti perkauman, perang nuclear, hukuman mati dan bunuh diri. Etika seks pula membincangkan isu-isu seperti homoseksual, seks bebas dan pertukaran jantina.



Aliran-aliran etika 





1.     Utilitarianisme

Utilitarianisme berasal daripada perkataan "utility" yang membawa maksud guna, berguna, atau kegunaan. Utilitarianisme diasaskan oleh Jeremy Benthan (1748-1832) dan John Stuart Mill (1806-1832). Konsep utilitarianisme menegakkan fahaman bahawa segala keputusan yang dibuat bergantung kepada hasil yang diperoleh daripada pelaksanaannya. Matlamat doktrin utilitarianisme adalah untuk memberikan kebaikan tertinggi kepada seberapa ramai orang.


2.     Hedonisme

Hedonisme berasal daripada perkataan perkataan Greek "hedone" yang menentukan bahawa matlamat kehidupan ialah untuk mendapatkan kelazatan hidup yang maksimum. Ianya berpegang kepada fahaman yang mementingkan keseronokan dan kesenangan hidup. Ukuran baik dan buruk ditentukan oleh kenikmatan dan kelazatan.


3.     Eksistensialisme

Eksistensialisme menegaskan bahawa moral hendaklah berpaksikan kebebasan di mana setiap individu mempunyai kebebasan menentukan tindakannya. Jean Paul Satre merupakan pelopor utama doktrin eksistensialisme. Bagi beliau, individu yang mematuhi peraturan masyarakat secara sembrono telah menjejaskan kebebasannya. Eksistensialisme menekankan tentang kebebasan individu membuat pilihan dan pilihan dibuat berdasarkan sumber asal.



  Akhlak Islam
 

Definisi Akhlak

Definisi akhlak yang terpuji pada pandangan tokoh Tasawuf merujuk kepada perangai yang menyenangkan, lemah lembut dalam pergaulan, berseri wajah, sedikit perselisihan dan baik percakapan (Al-Mawardi,2000) dan (Yaficie,1961). 


Cara Membentuk Akhlak Mulia

Akhlak mulia boleh dibentuk melalui latihan yang dilakukan secara bersungguh-sungguh tanpa kenal erti jemu dan putus asa. Tambahan pula akhlak mulia perlu dipupuk dan dibendung dengan rapi agar dapat tumbuh subur dalam jiwa setiap orang. Disiplin dan garis panduan secara khusus perlu diikuti dengan sempurna dan penuh minat sehingga mampu menzahirkan tingkah laku yang baik secara paling mudah tanpa sebarang bebanan. Memberi tumpuan sepenuhnya kepada adab-adab seharian seperti adab bangun pagi, mandi, makan, dan sebagainya. Selain itu, hubungan yang akrab antara zahir dan batin sangat diberi perhatian penting oleh tokoh tasawuf.


Faedah Akhlak Mulia

-        Mencari keredhaan dan meningkatkan martabat diri di sisi Allah S.W.T
-        Boleh menyampaikan cita-cita seseorang
-      Merupakan banteng yang kukuh dan jalan yang mudah untuk mendekatkan diri kepada Allah  S.W.T


Bahaya Akhlak Buruk

-        Meninggalkan impak yang tidak baik seperti menyempitkan rezeki
-       Menyebabkan bala kepada manusia lain dan dirinya dalam keletihan (Al- Mawardi,2000)


Gaya Pembentukan Akhlak oleh Imam Ghazali

-        Sentiasa bergaul dengan guru yang dapat melihat dan menilai segala kekurangan akhlak yang ada pada dirinya dan mematuhi nasihat yang diberikan oleh guru
-        mencari teman yang benar-benar mengawasi dan dapat menegur perbuatan yang buruk
-        mendengar dan memerhati segala kekurangan diri yang dilontarkan oleh pihak musuh kerana mereka lebih berterus terang mengkritik tentang keburukan diri berbanding ucapan rakan-rakan yang suka menyembunyikan sesuatu keburukan.
-        Menggauli manusia dengan mengawasi sifat-sifat yang tercela dan mengambil pelajaran untuk memperbaiki diri sendiri. Sesungguhnya seorang mukmin merupakan cermin kepada mukmin yang lain.


Matlamat Akhlak

-        Membentuk manusia yang sempurna perbuatan di semua tempat lagi bersih.
-        Usaha pembentukan akhlak mulia meletakkan seseorang itu pada tempat yang tinggi pada pandangan Allah S.W.T, masyarakat, dan dirinya sendiri


No comments:

Post a Comment